Kanak-kanak memiliki tenaga yang berbeza berbanding kita orang dewasa. Tahap tenaga mereka sangat tinggi dan sebab itu mereka sangat aktif bermain, bersukan, suka menjerit, bercakap lebih banyak dan mereka sentiasa menikmati setiap apa yang mereka lakukan. Sebagai ibu bapa, kita harus lebih sabar dan memahami emosi anak.
Perumpamaan yang orang melayu kita selalu cakap yang diana nak kaitkan dengan topik ari ni " Ibarat ketam yang mengajar anak berjalan lurus". Ketam ni memang tak akan pernah berjalan lurus. Tapi dia nak ajar anak dia berjalan lurus. Hasilnya anak dia pun jalan tak betul macam dia. Sebabnya anak ni meniru sepenuhnya apa yang telah diajar oleh ibu ketam ni tadi.
Anak kecil ni mereka tiada identiti. Mereka dilahirkan ibarat kain putih yang bersih dan bergantung pada ibu bapa untuk mencorakkan anak yang baru lahir ni. Mereka cepat meniru kerana mereka adalah pemerhati yang baik bermula dari saat mereka lahir.
Sebagai contoh, jika anda menjerit dan mengherdik mereka, mereka akan menjerit kembali kepada anda. Jika anda bercakap buruk dan berkata-kata kesat, mereka akan melakukan perkara yang sama. Anak-anak kita akan membesar dengan mencontohi sikap kita. Sebagai ibu bapa, fikirkan dan lakukan apa yang anda nak anak anda jadi dan bersikap sebagai mana di kemudian hari. Semuanya bergantung kepada kita sebagai ibu bapa.
Dalam dunia ni tiada istilah 'anak yang sempurna' atau 'ibu bapa yang sempurna'. Cuma kita yang belajar untuk menjadi sempurna walhal belum sempurna. Kesempurnaan itu hanya milik Allah. Sebab tu jangan marah atau rasa tertekan bila anak kita tidak seperti anak adik beradik atau saudara mara atau jiran sebelah rumah kita. Setiap orang berbeza. Miliki kelebihan dan kekurangan tersendiri. Kita juga bukan sempurna. Jadi jangan harapkan anak kecil kita menjadi sangat sempurna seolah-olah mereka robot yang hanya mengikut arahan.
Memarahi anak dengan cara yang kasar boleh menganggu emosi mereka kerana kemarahan itu sendiri melampaui pemahaman si anak. Setiap manusia ni Allah ciptakan dengan naluri dan emosi yang berbeza. Seorang anak juga tidak akan sama dengan ibu bapanya. Begitu juga dengan setiap anak, berbeza juga emosinya. Kalau kita ada dua orang anak. Yang pertama mungkin akan bersikap berdiam diri dan yang kedua mungkin akan bertindak agresif bila di marah.
Menggunakan kata-kata kasar atau kesat semasa marahkan anak dianggap sebagai satu bentuk penyalahgunaan emosi. Pakar psikologi percaya bahawa menjerit dan memarahi dengan kasar terhadap anak, impaknya lebih buruk daripada penyalahgunaan fizikal (memukul).
Anak yang kerap dimarah secara kasar akan mengalami perasaan penghinaan, ketakutan, rasa bersalah, malu, kecemasan dan tekanan seperti orang dewasa. Sesetengah kanak-kanak mungkin mengalami masalah berkaitan tidur, kelewatan perkembangan, masalah tingkah laku, masalah pembelajaran, masalah emosi dan masalah untuk membentuk hubungan sosial. Mereka akan membesar jadi orang dewasa yang tiada keyakinan diri.
Mitos dan Fakta Tentang Memarahi Anak
Mitos: Ibu bapa tidak pernah mendera anak mereka sendiri.
Fakta: Dengan memarahi dan memukul, ibu bapa mendera anak mereka secara emosional.
Mitos: Marah atau memukul boleh membantu mendisiplinkan anak-anak.
Fakta: Marah atau memukul tidak membantu mendisiplinkan malah ia boleh menjadi punca utama kepada masalah tingkah laku anak-anak di masa hadapan.
Mitos: Memarahi anak di khalayak ramai boleh membuatnya mendengar cakap anda.
Fakta: Memarahi anak di khalayak ramai boleh membuat anak anda jadi anak yang keras kepala.
Mitos: Memarahi anak boleh membuatkan mereka bercakap benar.
Fakta: Memarahi anak akan menjadikan mereka seorang yang menyembunyikan kebenaran.
Mitos: Memarahi anak membantu ibu bapa mengawal kelakuan dan sikap anak.
Fakta: Ibu bapa yang menggunakan kekerasan secara fizikal dan kemarahan sebagai senjata untuk mendisiplinkan anak-anak adalah ibu bapa yang tidak mampu mengawal diri sendiri. Kekerasan dan kemarahan tidak dapat mengubah sikap dan tingkah laku tetapi ia akan menjadikan anak-anak lebih agresif atau ketakutan.
Mitos: Ibu bapa yang baik tidak merasa jengkel atau marah dengan tingkah laku anak-anak mereka.
Fakta: Semua ibu bapa akan berasa marah dengan tingkah laku anak-anak mereka. anak-anak adalah ujian. Adalah baik untuk marah, tetapi tidak baik untuk menyakiti anak-anak ketika anda dalam kemarahan.
Mitos: Memarahi anak boleh membuatkan anak anda sentiasa mendengar cakap anda.
Fakta: Kemarahan dan kekasaran bukanlah cara untuk mendidik anak agar menjadi anak yang mendengar kata. Sebaliknya ia permulaan titik hitam kepada tingkah laku yang lebih ganas dan kasar. Bagaimana cara anda mendidik anak, begitulah anak anda akan jadi.
Memarahi dan memukul bukanlah senjata terbaik kita sebagai ibu bapa. Jadilah ibu bapa yang berfikiran positif dan menerapkan nilai-nilai keibubapaan yang positif. Jangan sesekali mendera anak anda dengan kekerasan dan kemarahan, tanpa mengetahui had. Sentiasa sematkan dalam hati dan fikiran,
"Kemarahan akan melenyapkan apa yang anda cuba sampaikan. Bercakaplah dengan perlahan dari hati supaya anak anda boleh mendengar pesanan anda dan bukannya suara kemarahan anda." - L.R.Knost
Bina Suasana Yang Positif Dalam Keluarga
Ada beberapa tips yang boleh digunakan dalam membina suasana yang positif bersama anak-anak.
- Bangun awal adalah perkara yang agak sukar bagi kebanyakkan orang apatah lagi anak kecil. Bagi salam kat mereka dengan menyebut nama penuh dan bangunkan anak anda dengan tenang.
- Bantu anak melakukan kerja sekolah dengan cara yang tersusun. Bimbing dia dan terangkan apa yang dia perlu buat, temankan dia tetapi bukan tolong buat yer.
- Bercakap dengannya dengan penuh kasih sayang. Jangan bercakap bila perlu dan bercakap untuk cari kesalahan. Ibu bapa yang jadi kawan pada anak-anak akan lebih mudah untuk mendidik anak.
- Tolong jangan memarahi semasa mereka sedang makan. Kalau awak di marah masa sedang makan, apa yang awak rasa. Tentunya hilang selera.
- Elakkan memarahi ketika mereka tidur dan ketika mereka hendak pergi tidur. Anak-anak yang dimarahi pada masa ini akan bangun tidur dengan perasaan marah dan mereka keletihan sebenarnya. Sebab ketika mereka tidur, otak mereka tidak pernah tidur. Otak mereka akan terus berfikir dan teringat dengan kata-kata kesat yang kita dah cakap sebentar tadi.
- Berhenti menggunakan kata-kata kasar.
- Gunakan banyak sentuhan positif.
- Jangan sekali-kali merendahkan dan membandingkan anak-anak anda di hadapan orang lain walaupun mereka baru berusia setahun.
- Hantar mereka ke sekolah dengan minda yang tenang dan aman. Berikan mereka pelukan, ciuman dan doa kerana inilah semangat untuk mereka mengharungi hari yang mencabar di sekolah.
- Sambut kepulangan mereka dari sekolah dengan fikiran gembira.
- Apabila anda memarahi mereka, beri sebab dan penjelasan yang sesuai yang sesuai dengan usia dan pemahaman mereka.
- Nikmati kehadiran anak anda. Nikmati anugerah yang Allah beri. Anda tidak akan tahu berapa lama anda dapat bersama dengan mereka.
- Dapatkan bantuan daripada pakar sekiranya anda sukar mengawal kemarahan anda dengan cara yang berkesan dan positif.
Teknik Untuk Mengurangkan Kemarahan Terhadap Anak-Anak Anda
Bagi ibu bapa yang ada masalah untuk mengawal kemarahan, anda perlu sentiasa mengawal gerak laku, nada suara dan kata-kata yang keluar dari mulut anda ketika bersama dengan anak. Jika anda rasa anda hilang rasa sabar;
- Keluar dan pergi jauh dari anak. Ambil angin luar dan cuba bertenang.
- Rehat dan tarik nafas dalam-dalam.
- Pandang wajah anda yang sedang marah di cermin. Ini ke wajah yang anda nak anak anda lihat dan bayangkan seumur hidupnya.
- Mengalihkan perhatian diri dengan mendengar lagu yang menenangkan.
- Pergi berjalan-jalan dan tenangkan fikiran minda
- Tenangkan diri dan kemudian baru bercakap dengan anak anda
Comments
Post a Comment