![]() |
Teori Untuk Redha dan Bersangka Baik Dengan Allah |
Dalam kehidupan seharian baik dalam urusan rumahtangga, kerjaya, bisnes, anak-anak dan orang-orang disekeliling, kita tidak mampu untuk lari dari ujian. Pasti ada ujian dari Allah untuk kita.
Bila ujian bertimpa-timpa, pasti ada pertanyaan dari hati...
Apakah hati masih mampu bersangka baik denganNya ?
Apakah bibir masih mampu mengukir senyuman ?
Apakah air mata masih bisa tertahan ?
Terlalu banyak persoalan dan jawapan ada pada hati.
Terpanggil untuk bercerita, bercerita tentang redha dan bersangka baik. Bersangka pada Allah. Sungguh saya bukan lah manusia tanpa dosa, malah sayalah pendosa tanpa noktah.
Namun Allah membentuk saya dengan tarbiah kasih sayangnya.
Jujur, bila mana satu-satu ujian hadir, bohong jika saya kata hati ini tidak bertanya Mengapa dan Kenapa saya ?
Namun, bila ia selalu hadir, saya belajar dengan sendirinya, belajar untuk lihat segalanya dalam prespektif lebih luas. Jika mahu dihitung air mata entah berapa banyak yang telah mengalir selama ini.
Kadang-kadang nak didik hati orang jauh lebih mudah berbanding nak didik hati sendiri. Melalui hari ke hari saya yakin saya kuat untuk menghadapinya tetapi datang lagi dugaan, dimana diuji pula keyakinan pada ilahi.
Akhirnya didikan Allah itu menjadi. Akhirnya saya mampu didik hati untuk redha dan tidak lagi bersangka buruk pada Allah, bila prasangka itu hadir cepat-cepat saya Istighfar.
Istighfarlah jawapannya. Selagi mana hati ini tidak tenang, selagi itulah istighfar tidak lekang di bibir. Dalam keralitan beristighfar, membuatkan saya lupa pada kesedihan. Dan saya mampu tersenyum semula dan redha dengan ketentuan dari Nya.
Redha itu bukan mudah tapi Redha itu mudah, di saat hati anda tidak lagi mempersoalkan ketentuanNya. Menerima dengan berlapang dada.
![]() |
Pemikiran positif formula Redha dan Bersangka Baik Dengan Allah |
Bila terdengar bisik-bisik suara, “Kau tak rasa apa yang aku rasa”
Ya, itu kebesaran Allah, DIA boleh buat bermacam ujian yang menyebabkan ujian anda dan saya tidak sama. Tapi apakah kita mengetahui seberat mana ujian orang lain, betul ke ujian anda tu Paling Berat.
Anda akan jumpa andai anda cari percaya. Jangan hanya tahu mengeluh.
Jika diikutkan dosa saya ini, saya tak layak pun untuk dapat nikmat-nikmat Allah, tapi kasih sayang Allah tak pernah berkurang walau sedikit pun, jadi apakah layak saya sebagai hamba nak bersangka buruk lagi pada Allah.
Ajar hati kita supaya Jangan manja sangat hati. Jangan mudah mengalah. Jangan mudah bersangka buruk. Yakin pada kuasa Allah. Yakin bahawa setiap yang berlaku ada sebab dan hikmahnya.
Andai selama ini Allah uji anda dan anda mampu laluinya. Sekarang Dia uji lagi takkan anda hendak mengalah, kalau anda tidak mampu sungguh Allah tidak berikan anda dengan ujian ini.
Setiap yang Allah tunjukkan pada kita adalah untuk menjadikan kita lebih baik dari hari semalam. Jadikan setiap peristiwa dalam kehidupan sebagai pedoman untuk kita menjadi lebih baik di masa hadapan.
![]() |
Percaya Ada Himah Dan Kebaikan Di Sebalik Setiap Kejadian |
Apakah kamu rasa NIKMAT yang kamu minta dari Allah itu akan menjadikan kamu semakin dekat kepada Allah???
Sedikit perkongsian dari saya semoga anda semua faham apa yang saya maksudkan dengan ayat di atas.
" Pada zaman Rasulullah, ada seorang sahabat yang sangat miskin, tetapi dia tidak pernah meninggalkan solat berjemaah. Dia selalu solat berjemaah dengan Rasulullah. Setiap kali selepas solat dia tergesa-gesa pulang kerumah. Ini menimbulkan pertanyaan di hati Rasulullah. Lalu Rasulullah bertanya mengapa kamu begitu tergesa-gesa setiap kali selepas solat berjemaah. Lalu sahabat menjawab, Ya Rasulullah aku sangat miskin, aku berkongsi pakaian solat ini dengan isteriku, dan rumah ku jauh, jika terlambat pulang, isteriku pasti terlepas waktu solat.
Ya Rasulullah , mohonlah pada Allah untuk menjadikan aku kaya, agar aku dapat meluangkan masa untuk mendengar kuliahmu. Lalu Rasulullah berdoa pada Allah.
Dan akhirnya sahabat itu, menjadi kaya dan senang. Namun dia semakin sibuk dengan urusan dunia, dan semakin tiada masa untuk berjemaah dengan Rasulullah di masjid. "
Jadi ambil iktibar dari kisah diatas, maaf jika ada kekurangan dari cerita yang saya kongsikan.
Mungkin anda diuji, tapi ia membawa anda semakin dekat dengan Nya, itu juga kasih sayang. Buka seluas-luasnya mata hati, Allah sangat baik dengan kita, pandang setiap yang terjadi dengan mata hati agar hati boleh redha dan bersangka baik denganNya.
“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”
[al-Hadid, 57:22]
Percayalah, bahawa selagi Allah masih memberikan kita ujian, bermakna Allah masih sayangkan kita. Allah sentiasa memerhatikan kita. Allah sentiasa di samping kita. Allah nak kita sedar yang kita ni hamba Nya, dan Dia adalah Tuan kita. Berserahlah dan merendahkanlah sepenuhnya diri kepada Allah serta yakin Allah tidak pernah sia-siakan doa dan pengharapan kita kepada Nya...
Cepat atau lambat untuk Allah berikan NIKMAT Nya kepada kita, itu hak Allah. Jangan sesekali mempertikaikan hak Allah.
Seorang sahabat pernah berpesan pada saya,
" Setiap hari lakukan LEBIH BAIK dari hari semalam. Dalam apa jua aspek hubungan sama ada dengan manusia, hubungan dengan Allah, keluarga, bisnes, kerjaya, anak didik dan sebagainya. Setiap hari adalah hari baru untuk kita. Jadi pastikan setiap hari LEBIH BAIK dari semalam.
Rohani, Mental, Minda, Iman dan Semangat semua itu perlukan 'makanan'. Takkan kita je yang nak makan makanan berkhasiat setiap hari. Ayat-ayat Al-Quran dan zikir adalah makanan terbaik lengkap khasiat zat. Jika tidak cukup 'zat', kesannya buruk, dalaman kita jadi lemau, tiada semangat, tiada motivasi, asyik sedih dan mengeluh. "
![]() |
Formula Untuk Redha dan Bersangka Baik Dengan Allah |
Akhir kata dari saya, Percayalah dengan sepenuh hati. Ucaplah Alhamdulillah. Setiap yang terjadi ada hikmahnya. Pasti ada kebaikan untuk kita. Senyum dan bersyukurlah tidak kira apa yang terjadi. Itu akan menjadikan kita Redha dan Bersangka Baik dengan Allah dan inilah Formula Kejayaan hidup di dunia hingga ke syurga.
Comments
Post a Comment