Skip to main content

Hakikat Kehidupan Manusia


Setiap manusia di dunia telah Allah s.w.t tentukan soal rezeki, jodoh dan mautnya. Semuanya di dalam pengetahuan Allah Yang Maha Mengetahui. Setiap pergerakan makhluknya berada dalam ilmu Allah s.w.t. Apa yang makhluknya mahu dan fikirkan, semua itu telah diketahui dahulu oleh Allah Azza Wa Jalla. Walaupun makhluknya tadi tinggal di dalam batu yang diselimuti rumpai tebal di dasar laut yang kelam di waktu malam gelap yang mendung tiada berbintang, semua itu masih berada di dalam pengetahuan Allah s.w.t. Begitu juga soal rezeki, Allah telah tetapkan seluruh urusan rezeki kepada semua makhluk-makhluknya. Tiada berlebih atau berkurang sedikit pun, semuanya telah tertulis di Lauh Mahfuz. Kita masih bernafas dan bernyawa kerana masih ada lagi rezeki Allah yang kita tidak makan, jika sudah habis rezeki Allah telah diedarkan kepada kita, maka ketika itulah sampainya ajal kita. Walaupun seseorang itu sudah jatuh dari bangunan tinggi, ditembak berulang kali, ditetak dan terbakar, jika masih ada nasi atau gandum yang menjadi rezekinya masih belum dinikmatinya lagi, maka belumlah lagi saat kematian baginya dan tidak layak dia mati sebelum habis rezeki Allah yang ditentukan kepadanya dimakan olehnya.

Setiap hari Allah telah tentukan rezeki manusia, tidak kira yang Islam atau yang kafir. Jika hari ini seseorang itu rezekinya nasi dagang, mungkin esok rezekinya nasi minyak kenduri kahwin. Jika seseorang itu selalu diberi makan makanan yang mewah-mewah, di dalam hotel mewah dan ditemani rakan-rakan, mungkin esok dia hanya makan nasi dengan sedikit kuah dan dua biji telur rebus di dalam penjara yang sunyi sepi. Walaupun orang tadi mengomel-ngomel, mengutuk dan mencerca makanan tadi sebagai makanan anjing sebagai contoh, itulah rezekinya yang ditentukan padanya pada saat itu dan tidak boleh manusia selemah dia untuk menukarnya. Semuanya adalah ketentuan Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Bijaksana. Jika orang tadi tahu betapa bernilainya rezeki Allah itu maka sudah tentu dia akan memakan makanan itu dengan lahap dan berselera. Bayangkan jika Allah menetapkan dia tidak layak diberi sebarang makanan pun pada saat itu, sudah tentu perutnya akan berkeroncong kelaparan. Kemungkinan dia akan menyumpah-nyumpah makhluk lain yang membiarkan dirinya kelaparan. Kemudian setelah tiada daya dan kekuatan lagi, mungkin hatinya merintih kepada Tuhan.

"Tuhan, berikan aku sedikit makanan, aku lapar..."

Di kepalanya mungkin tiada lagi berfikir tentang makanan yang mewah-mewah seperti lamb chop, Italian Cuisine dan sebagainya tetapi sedikit makanan.. ya.. sedikit makanan untuk menghapuskan penderitaan kelaparan yang mencucuk-cucuk perutnya saat itu. Ketika itu jika disuakan nasi tanpa kuah dan sebiji sahaja telur rebus.. sudah pasti dia akan memilih untuk memakannya tanpa segan silu lagi kerana kepedihan yang dasyat melanda dirinya akibat kebuluran.

Begitu lemahnya manusia ini. Manusia yang tiada berkuasa sedikit pun. Rezeki yang Allah tetapkan tiada kaitan dengan status pekerjaan manusia itu. Pekerjaan manusia hanya asbab untuk rezekinya. Adakah seorang peguam hanya layak makan daging, seorang pencuci lantai hospital hanya layak makan ikan masin? Fikirkan seorang ahli politik yang mewah pada suatu hari hanya layak makan sepinggan nasi berkuah berlaukkan dua biji telur rebus, namun pada masa yang sama seorang pemungut sampah layak makan ayam goreng berempah masala, kentang putar Deluxe, burger Double XL dan nugget ikan. Begitu berkuasa dan agungnya Allah menetapkan rezeki kepada semua makhluknya hatta ulat dalam batu pun masih mempunyai rezekinya sendiri.

Pekerjaan tidak boleh memberi rezeki kepada manusia. Kilang tidak boleh beri rezeki kepada manusia. Pejabat bukan punca rezeki kepada manusia. Tetapi Allah s.w.t lah yang memberi rezeki kepada manusia. Allah s.w.t lah punca rezeki manusia. Ada orang bekerja di kilang tetapi 3 bulan tidak dapat gaji kerana kemelesatan ekonomi. Ada orang bekerja di pejabat, berpendapatan besar tetapi yang sempat singgah ditekaknya tiap-tiap bulan hanyalah tidak sampai suku pun dari gajinya kerana hutang keliling pinggang. Ada orang yang kerjanya tukang kebun sahaja tetapi hari-hari makan mewah kerana bekerja di kawasan istana Sultan. Pekerjaan bukanlah tujuan kita untuk hidup. Begitu juga rezeki. Kita bukan diciptakan untuk 24 jam siang dan malam untuk mencari rezeki.

Hari ini orang sudah salah sangka bahawa pekerjaanlah yang memberi dia rezeki. Hari ini orang sudah silap menyangka bahawa tanpa bekerja, maka tiada rezeki baginya. Pekerjaan bukan pemberi rezeki kepada manusia. Tetapi Allah lah yang memberi rezeki kepada manusia. Jika Allah tidak benarkan Obama, Presiden Amerika minum setitis air pun pada hari ini, maka tiadalah daya dan kekuatan pun dapat mendatangkan walau setitis air pun walaupun air longkang, air parit mahupun air kumbahan untuk diberi kepada ketua negara Amerika itu. Walaupun dikumpulkan seluruh tentera Marin, Komando, intelligen, seluruh bala tentera Amerika di seluruh pengkalannya di serata dunia, ditambah pula tentera-tentera sekutunya seperti NATO, Israel, Britain, malah dipanggil pula tentera-tentera pencacainya seperti Turki dan negara-negara Arab yang bersekutu dengannya akhirnya ditolong pula dengan Zionis Timur Singapura.. semua itu masih belum mampu untuk mencarikan setitis air pun untuk Barrack 'Hussein' Obama, malah jika dikumpulkan seluruh jin dan manusia serta alien-alien yang ada (jika ada) untuk membantu Obama yang kehausan tadi, itupun sangat jauh untuk layak menggerakkan kekuatan memasukkan setitis air untuk diteguk oleh Obama jika Allah tidak mengizinkannya berbuat demikian. Allahu Akbar...

Manusia tidak akan mati jika tidak bekerja. Allah lah yang mematikan dan menghidupkan manusia. Nasi yang dimakan tiap-tiap hari dan air minum yang diteguk tiap-tiap hari bukanlah datang dari pekerjaan. Semua itu datang dari Allah. Hari ini manusia sudah sombong dengan pekerjaan masing-masing. Seorang ahli perniagaan bila melihat seorang buruh kasar sedang meratakan tar di jalan sudah mula mencebik dan sombong. Seorang jurutera bila melihat seorang pencuci tandas pasaraya mula bangga dengan nasib dirinya yang lebih baik dari si pencuci tandas tadi. Seorang wakil rakyat melihat rakyat marhaen yang miskin mula menuduh rakyat hanya mahu subsidi kerajaan, pemalas, dasar meminta-minta dan suka yang percuma sahaja. Dalam hatinya bangga dengan pencapaian dia hari ini yang menjadi seorang yang berkedudukan hasil usaha gigihnya belajar atas usaha sendiri, tidak seperti orang kampung miskin yang suka meminta-minta. Padahal apa yang didapatinya berpunca dari belas ihsan Allah Yang Maha Pemurah, bukan dari pelajarannya dan pekerjaannya. Sampai masa, apabila Allah s.w.t turunkan kepadanya pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya, sehinggakan hanya bubur sahaja yang mampu ditelannya maka hanya itulah rezeki baginya walaupun pendapatannya boleh membeli makanan yang mahal-mahal.


Apa jua yang kita buat, sebagai pensyarah, guru, kakitangan kerajaan, jurutera, juruteknik, wireman, menteri, raja, tukang gunting rambut, pekerja majlis bandaran, profesor dan sebagainya bukanlah kerja yang sepatutnya dibuat. Itu hanya KEPERLUAN kita sahaja. Kerja yang SEBENARNYA sepatut kita buat di dunia ini adalah BERIMAN dan mentaati Allah s.w.t serta nasihat-menasihati dengan kebenaran dan kesabaran (dakwah atau menyampaikan kebenaran).

Firman Allah s.w.t : "Demi masa Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran" (Surah Al-'Ashr ayat 1-3)

Itulah kerja sebenar kita di dunia. Hari ini orang sudah menjadikan keperluan hidupnya sebagai kerja sepanjang hayat. Hidupnya 24 jam berpenat-lelah untuk memastikan perutnya sentiasa kenyang. Hidupnya semata-mata menjadi hamba perut, hamba nafsu dan hamba orang lain. Sibuk menjadi hamba dan kuli sampai tanggungjawab dia kepada Tuhan pun diabaikan. Manusia yakin bahawa jika tidak bekerja maka dia tidak dapat makan. Makanan datang dari pendapatan atau gaji yang didapatinya. Ini adalah YAKIN yang salah. Bahkan Allah lah yang mendatangkan rezeki baginya. Bukan pekerjaan, bukan gaji dan bukan pendapatan. Hari ini manusia yakin jika aku tidak dapat belajar di universiti, maka hidup aku tidak terjamin dan aku tidak dapat pekerjaan yang bagus. Ini juga YAKIN yang salah. Siti Nurhaliza misalnya, dengan keputusan SPM yang tidak berapa cemerlang, kemahiran bahasa Inggerisnya yang sederhana, tidak pernah belajar di universiti namun masih mampu hidup mewah dan bersuamikan orang kenamaan. Hari ini berapa ribu siswazah yang terpaksa menanam anggur di rumah?

PERINTAH

Jadi apa perlunya aku bekerja? Baik aku duduk goyang kaki menunggu rezeki datang dari Allah. Rezeki aku sudah ditetapkan oleh Allah. Jadi apa perlu aku risau. Baik aku duduk di masjid atau pergi berdakwah sahaja tanpa bekerja. Rezeki aku sudah tertulis di Lauh Mahfuz. Jadi kerja atau tidak tak penting. Lebih baik aku tidak payah belajar di sekolah dan hanya tanam anggur sahaja di rumah. Nanti rezeki datang dari langit atau datang ke riba aku.

INI JUGA ADALAH YAKIN YANG SALAH

Sebenarnya kita bekerja kerana ia adalah PERINTAH DARI ALLAH S.W.T. Kita bekerja bukan kerana ia adalah sumber rezeki atau ia adalah tujuan hidup kita, tetapi ia adalah PERINTAH Allah Azza Wa Jalla.

Firman Allah s.w.t : " …bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia (rezeki) Allah dan ingatlah akan Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu menang." (Surah Al-Jumu’ah :10)

Ini adalah ayat perintah dari Allah s.w.t supaya kita tidak duduk diam mengharapkan rezeki semata tetapi bertebaran mencari rezeki Allah yang Allah telah letakkan di segenap penjuru dunia. ALLAH PERINTAH KITA BEKERJA TETAPI ALLAH TAK SURUH KITA YAKIN PEKERJAAN ITU BAGI REZEKI PADA KITA.

Rezeki datang dari Allah s.w.t. Rezeki bukan datang dari pekerjaan kita. Begitu juga makan. Kekenyangan datang dari Allah dan bukan datang dari apa yang kita makan. Ada orang yang makan 2-3 pinggan nasi tapi masih tidak kenyang-kenyang. Ada yang hanya makan 3 biji kurma dan seteguk air tetapi Allah beri dia kenyang. Jadi kenapa aku makan? Baik aku duduk diam sahaja dan harap Allah bagi aku kenyang. Tidaklah perlu aku bersusah-payah memasak atau pergi ke kedai mamak untuk membeli makanan. Tidak payahlah aku bersusah-payah mengunyah dan menelan untuk makan kerana Allah lah yang bagi aku kenyang bukan makan atau makanan.

INI JUGA MASIH YAKIN YANG SALAH

Sebenarnya kita makan kerana Allah PERINTAH kita untuk makan. Kita makan bukan kerana dengan makan kita boleh kenyang tetapi kerana ia adalah PERINTAH dari Allah.

Firman Allah s.w.t : "Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah" (al-Baqarah ayat 172)

"Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu" (al-Baqarah ayat 168)

Kekenyangan datang dari Allah. Kekenyangan bukan datang dari apa yang kita makan. ALLAH PERINTAH KITA MAKAN TAPI ALLAH TAK SURUH KITA YAKIN BAHAWA DENGAN MAKAN KITA BOLEH KENYANG.

Begitu juga yang lain-lain. Allah perintahkan kita berusaha dan bertawakkal kepada Allah. Bila kita sakit kita akan makan ubat. Eh, Allah yang kasi aku sembuh bukan ubat. Ya, Allah yang kasi sembuh tapi Allah perintah kita makan ubat TAPI ALLAH TAK SURUH KITA YAKIN UBAT BOLEH KASI KITA SIHAT.

Firman Allah s.w.t : "dan bertawakallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pemelihara" (al-Ahzab ayat 33)

Jika kita memahami maksud Al-Quran, kita akan dapati perintah Allah itu memang sesuai dengan fitrah manusia. Hari ini ada orang memandang Al-Quran hanya sinonim dengan perintah hudud potong tangan. Perintah jihad pergi berperang bunuh orang. Ini bukan sahaja yakin yang salah tetapi bodoh dan tidak berpelajaran sama sekali. Padahal Al-Quran bukan sahaja perintah kita menjalankan undang-undang-Nya tetapi Allah perintah kita untuk makan, minum, bekerja malah tidur juga. Tetapi siapa yang bagi kita ngantuk? Allah...

ALLAH PERINTAH KITA TIDUR TETAPI ALLAH TAK SURUH KITA YAKIN BAHAWA TIDUR ITU BAGI KITA MENGANTUK

Setiap perintah Allah s.w.t di dalam Al-Quran mengandungi erti yang mendalam sekali. Allah perintah semua ini kerana ia adalah fitrah manusia. Sepertimana seseorang yang membeli satu mesin atau kenderaan, sudah pasti mesin atau kenderaan tadi dilengkapi manual cara menggunakan atau penjagaannya dari si pembuat mesin atau kenderaan tadi. Begitu juga manusia. Allah Azza Wa Jalla yang menciptakan manusia dan hanya Allah lah yang faham fitrah manusia. Jadi apakah dia manual bagi manusia tadi.

ITULAH AL-QURAN

Al-Quran adalah panduan bagi manusia. Sebagaimana mesin yang mempunyai panduan menggunakannya maka Al-Quran menjadi panduan atau petunjuk (guide book) bagi manusia 'menggunakan' dirinya sendiri dengan betul.

Firman Allah s.w.t : "Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa" (al-Baqarah ayat 2)

Tetapi hari ini orang menyalahgunakan dirinya atau tidak 'menggunakan' dirinya dengan betul. Manusia yang benar-benar faham akan menggunakan Al-Quran untuk menyelesaikan masalah kehidupannya. Hari ini segala jenis kaedah ciptaan manusia tidak berjaya dan gagal. Segala faham ciptaan manusia tidak sempurna. Komunisme tidak dapat menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial, Kapitalisme juga tidak seluruhnya berjaya. Hari ini kita lihat China dan Jepun umumnya sebagai gergasi ekonomi sebelah Timur tetapi kita tidak tahu berapa ramai rakyat China yang terpaksa makan bayi sendiri kerana kelaparan. Kekayaan hanya bertumpu di zon-zon ekonomi utama sahaja daripada seluruh China yang besar itu. Di Jepun berapa ramai yang gila dan bunuh diri kerana tekanan kerja yang tinggi.

Inilah akibat kerana tidak menggunakan manual yang diberi oleh pencipta manusia itu sendiri. Kita yakin Allah perintah kita makan, minum, tidur dan bekerja tetapi kita tidak yakin dengan sistem ekonomi dan undang-undang dari-Nya? Betapa pelik sikap manusia hari ini.

Kita juga makan, minum, tidur dan bekerja tetapi kita tidak melakukan dengan cara yang betul. Apakah cara yang betul itu? IAITU DENGAN CARA NABI S.A.W.

Ada orang pada hari ini tidak sukakan nabi s.a.w. Mereka tolak hadis-hadisnya. Ada orang mempertikaikan kalimah syahadah dengan menolak lafaz 'Muhammadurrasulullah', kerana bagi mereka kita bersyahadah dengan Allah sahaja, berguru dengan Allah sahaja. Hanya Al-Quran yang patut diikuti bukan hadis-hadis. Padahal kalau mereka ikut Al-Quran mereka juga kena ikut cara nabi Muhammad s.a.w.

Firman Allah s.w.t : "Katakanlah, "Ta'atilah Allah dan Rasul-Nya; jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir." (Ali Imran ayat 32)

Lihat, di dalam Al-Quran sendiri Allah PERINTAH supaya kita taat pada-Nya dan juga kepada Rasul-Nya iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

LAILAHAILLALLAH, MUHAMMADURRASULULLAH. Kita taat PERINTAH Allah, tetapi taat dengan cara bagaimana? DENGAN CARA YANG DITUNJUKKAN NABI MUHAMMAD S.A.W. Bukan cara syariat Nabi Ibrahim, Nabi Isa atau Nabi Musa. Apatah lagi syariat Komunis, Kapitalis, Zionis dan Iblis. Tetapi dengan syariat Nabi Muhammad s.a.w.

Jika kita faham rahsia di sebalik semua ini, kita akan faham bahawa semua perintah Allah jika dilakukan dengan cara Nabi s.a.w maka inilah KERJA kita yang sebenar hidup di dunia ini.

Makan cara nabi, minum cara nabi, tidur cara nabi, bekerja cara nabi. Inilah yang dinamakan sunnah nabi s.a.w.

Seterusnya jika kita lakukan apa saja dalam dunia mengikut sunnah nabi s.a.w maka apa yang kita buat adalah dikira sebagai ibadah; membuahkan pahala ganjaran di sisi Allah.

Ibadah bukan sahaja solat, puasa, zikir dan sebagainya. Hidup berpandukan sunnah Rasulullah s.a.w juga dikira ibadah. Tidur berdengkur melepek pun dikira ibadah! Bagaimana? Tidur dengan niat i'tikaf di dalam masjid. Tambah-tambah jika adab tidur dijaga, dimulakan dengan doa dan diakhiri dengan syukur sepertimana yang nabi buat. Bukan itu saja, berak bersembur najis busuk dan duduk termenung dalam tandas juga dikira ibadah! Eh, pulak.. bagaimana? Membuang air besar yang disertai dengan adab-adab masuk tandas sebagaimana yang nabi ajarkan. Lihat, betapa indahnya Islam. Betapa lengkapnya Islam. Islam adalah manual kehidupan lengkap seorang manusia. Dari manual cara-cara membuang najis sehinggalah manual cara menguruskan ekonomi dan negara, semuanya termaktub dalam Islam.

Solat dan puasa adalah PERINTAH Allah sebagaimana makan, minum dan tidur. Bezanya solat, puasa dan undang-undang Islam bertentangan dengan nafsu kita tetapi makan, minum dan tidur sesuai dengan nafsu serakah kita. Jika solat, puasa serta hukum Allah akan mendatangkan dosa dan hukuman Allah jika tidak melaksanakannya, bagaimana pula dengan perintah makan, minum dan tidur jika kita tidak melaksanakannya? Ah, setahun ni aku tak nak makan dan minum. Ah, 3 bulan aku tak nak tidur, aku nak bertapa, aku nak zuhud kononnya.

Juga berdosa kerana Allah s.w.t melarang kita sengaja mencampakkan diri ke dalam kebinasaan.

Firman Allah s.w.t : "Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik" (al-Baqarah ayat 195)

Solat dan puasa misalnya sudahlah memang ibadah tetapi jika hidup kita seluruhnya berpandukan Allah dan Rasul-Nya maka,

Makan jadi ibadah, minum jadi ibadah, tidur jadi ibadah, bekerja jadi ibadah.. semuanya dalam rangka mengabdikan diri pada Allah s.w.t.

Maka inilah yang menjadi sebab musababnya mengapa Allah Azza Wa Jalla menciptakan manusia malah jin juga.

"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku." (Surah az-Zariyat ayat 56)

INILAH TUJUAN KITA DICIPTAKAN ALLAH, IAITU MENGABDIKAN DIRI KEPADA-NYA... INILAH TUJUAN HIDUP KITA, INILAH KERJA SEBENAR KITA DI DUNIA.

Cerita ni bukan diana yang karang. Diana hanya copy dari sebuah blog yang diana pun dah lupa dari mana sumbernya. Diana simpan kat sini supaya diana boleh baca selalu dan jadikan peringatan pada diri diana supaya menjadi hamba Allah yang lebih baik dari hari ke hari. In syaa Allah.

Salam Sayang Ummi Adam


Comments

Popular posts from this blog

Petua Cantik Dengan Bahan-Bahan Dapur

Bahan-Bahan Yang Boleh Dapat Dari Dapur Semalam tengok Wanita Hari ini (WHI). Tajuk utama WHI semalam Petua Cantik Dengan Bahan-Bahan Dapur. Layan jer lah. Menurut Diana Rafar, petua ini khas turun-temurun dari warisan keluarganya. Dan dia sendiri memang amalkan mandi air rebusan herba paling tidak dua kali seminggu. Paling tidak pun akan bersauna dengan menggunakan air mandian rebusan herba tu. Elok juga mandi air rebusan herba ni semasa demam, selsema dan batuk sebab membantu mempercepatkan proses untuk sihat.  Ramuan herba dan semulajadi yang fresh ni memang banyak khasiatnya. Cuma kebanyakkan kita orang muda zaman sekarang tidak tahu kaedah yang betul. Kalau nak tahu, lengkuas mempunyai khasiat untuk menambahkan selera makan, membersihkan darah, mencairkan kahak, meransang otot dan banyak digunakan sebagai bahan menguatkan tenaga. Dari pengalaman diana sendiri, amalan minum air halia, mandian air rebusan herba, urutan dan berlulur menjadikan badan kita rasa lebih segar

Dia Yang Pertama

Terasa cepat nya masa berlalu. Dia yang pertama menghuni rahim ini. Dia yang pertama memanggilku ummi. Dia yang selalu memberi senyuman dan pelukan saat ummi berduka. Dia yang tak kenal erti dendam walaupun sering dimarahi. Tiada yang kedua buat ummi. Insan yang banyak mengajar ummi erti kehidupan bergelar ibu. Minggu ni minggu terakhir abang adam menduduki ujian kelas 5 tahun. Ummi sentiasa mendoakan kejayaan abang adam di dunia dan akhirat. Sangat peramah dan suka berkawan. Rakan niaga ummi yang terbaik. Abang adam dah kenal ABC, Alif Ba Ta, kenal 1 - 100, tambah dan tolak. Dan yang paling ummi bangga walaupun tiada asas agama di tadika, abang adam mampu hafal ✔Doa makan ✔Doa masuk toilet ✔Doa Tidur ✔Berselawat ✔Mengucap 2 kalimah syahadah ✔Surah Al fatihah ✔Surah 3 qul ✔Zikir-zikir ✔Bacaan pendek dalam solat hanya dengan mendengar dari ummi dan ketika kita solat berjemaah. Mungkin orang lain rasa alah apa yang nak dibanggaka

Bagaimana Mahu Redha dan Bersangka Baik Dengan Allah?

Teori Untuk Redha dan Bersangka Baik Dengan Allah Dalam kehidupan seharian baik dalam urusan rumahtangga, kerjaya, bisnes, anak-anak dan orang-orang disekeliling, kita tidak mampu untuk lari dari ujian. Pasti ada ujian dari Allah untuk kita. Bila ujian bertimpa-timpa, pasti ada pertanyaan dari hati... Apakah hati masih mampu bersangka baik denganNya ? Apakah bibir masih mampu mengukir senyuman ? Apakah air mata masih bisa tertahan ? Terlalu banyak persoalan dan jawapan ada pada hati. Terpanggil untuk bercerita, bercerita tentang redha dan bersangka baik. Bersangka pada Allah. Sungguh saya bukan lah manusia tanpa dosa, malah sayalah pendosa tanpa noktah. Namun Allah membentuk saya dengan tarbiah kasih sayangnya. Jujur, bila mana satu-satu ujian hadir, bohong jika saya kata hati ini tidak bertanya Mengapa dan Kenapa saya ? Namun, bila ia selalu hadir, saya belajar dengan sendirinya, belajar untuk lihat segalanya dalam prespektif lebih luas. Jika mahu dihitung air mata